KETIRISAN GERAN LATIHAN RUGIKAN INDUSTRI SOLAR MALAYSIA

SYARIKAT-syarikat kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC)

SYARIKAT-syarikat kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC)untuk tenaga boleh baharu (TBB) terutama solar tempatan (INDUSTRI SOLAR MALAYSIA) meminta kerajaan menilai semula pemberian geran untuk melatih tenaga kerja dalam bidang ini kepada syarikat-syarikat latihan atau konsultasi sedia ada

Mereka mendesak kerajaan supaya geran itu diberikan terus kepada syarikat terlibat dan bukannya pihak ketiga yang langsung tidak tahu keperluan industri dan menyediakan latihan semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Sedangkan pelatih-pelatih dilatih oleh syarikat-syarikat latihan berdaftar dengan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDC) langsung tidak menepati keperluan di lapangan

Kerugian dalam model latihan konvensional

Timbalan Pengerusi Persatuan Industri Tenaga Boleh Baharu dan Alam Sekitar (Pintare), Ir. Ahmad Fathi Zainalazlan berkata, ini adalah kerugian dalam model latihan konvensional yang menyebabkan berlakunya ketirisan dalam pengurusan geran latihan.

“Geran yang disalur terus kepada pusat latihan pihak ketiga sering kali tidak memberikan impak kepada industri sebenar disebabkan pemilihan calon oleh kepada sekadar memenuhi kurom kelas dan kuota pelajar, bukannya padanan keperluan sebenar tenaga kerja di lapangan.

“Akibatnya wujud kelompok pengangguran silih di mana mereka yang menyertai latihan yang dibiayai menggunakan geran kerajaan sekadar untuk kumpul kokuri sijil dan bukannya untuk mengisi pasaran kerja,” katanya.

Katanya, ini memberi kesan langsung kepada pasaran kerja dalam industri solar tempatan ekoran ketiadaan keseimbangan antara latihan menggunakan geran kerajaan dan penempatan kerja.

“Akhirnya, latihan yang diberikan oleh para penerima geran rata-rata sekadar program akademik, kami di lapangan yang memerlukan tenaga kerja mahir langsung tidak dapat manfaat daripada geran berjuta-juta ringgit ini,” katanya.

Mengambil inisiatif

Pengarah Urusan FTR GreenTech Sdn. Bhd., Mohamad Firdus Nazli pula berkata, syarikatnya mengambil inisiatif sendiri masuk ke kampung-kampung untuk merekrut tenaga kerja tempatan dalam industri solar.

Katanya, ini kerana pelatih-pelatih yang dilahirkan oleh institusi latihan dan dibiayai oleh geran kerajaan tidak memenuhi keperluan mereka.

Walaupun terpaksa mengeluarkan kos sendiri, tetapi kata beliau, ini terpaksa dilakukan dalam memastikan syarikatnya dapat menyiapkan kontrak yang diberikan pelanggan, di samping memastikan penggunaan tenaga kerja tempatan.

Syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dalam industri

Katanya, adalah lebih baik wang geran itu diberikan kepada syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dalam industri dan bukannya kepada institusi yang tidak memahami mereka hanya kerana wang.

“Beri autonomi kepada pemasang dan EPCC tempatan untuk mengenal pasti calon yang layak serta menyediakan latihan sesuai dengan padanan geran. Pusat latihan boleh menjadi rakan teknikal, tetapi bukannya pelaksana tunggal.

“Ini akan memastikan tenaga kerja yang dilatih terus dapat diserap ke dalam industri sebenar selepas tamat latihan,” katanya.

Geran-geran latihan kerajaan itu perlu dipermudahkan

Selain itu, kata Mohamad Firdus, akses kepada geran-geran latihan kerajaan itu perlu dipermudahkan kepada SME yang dalam mod survival, bukan hanya syarikat besar dalam fasa pertumbuhan sahaja.

“Sepatutnya komponen geran peralatan kerja, PPE dan automasi ringan bagi meningkatkan produktiviti tanpa bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja asing,” katanya.

Malaysia berpotensi menjadi peneraju

Menurut beliau, jika kerajaan dapat melaksanakan perkara ini maka Malaysia berpotensi menjadi peneraju tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri solar dan bukan sekadar pasaran pengguna teknologi.

“Melalui latihan konstruktif yang disokong oleh industri sebenar, kita dapat mewujudkan satu ekosistem tenaga kerja tempatan yang kompeten dan berdaya saing antarabangsa,” katanya.

Gading Kencana

Solar Rakyat

Scroll to Top